Thursday, July 9, 2009

Prestasi merosot punca bahasa ibunda diguna semula

SEKUMPULAN murid SK St. Thomas, Kuantan gembira dengan berita pemansuhan PPSMI yang diumumkan semalam.


Muhyiddin

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda mereka.

Muhyiddin berkata, Kabinet juga meluluskan cadangan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak ia dimulakan pada 2003,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

No comments: