Skip to main content

PPSMI dimansuh 2012

Oleh ZULKIFLI JALIL, ZABRY
MOHAMAD dan THOMAS CHONG


MUKTAMAD...Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom. – Utusan/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Hyundai starex

PEMOTORAN Kebebasan ruang kargo Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my Juga dikenali sebagai model H1 dan H200, kenderaan dengan kapasiti 11 orang tempat duduk ini sesuai untuk pelbagai aktiviti. SEJAK konsep kenderaan untuk pengangkutan penumpang atau barangan iaitu van beralih kepada MPV (kenderaan pelbagai guna), kita seakan-akan sudah lupa dengan kelebihan sebuah van. MPV mampu menyediakan tahap ergonomik dan pemanduan lebih selesa seakan-akan sebuah sedan. Namun ia masih belum berupaya menyediakan ruang yang luas untuk mengisi ramai penumpang. Lagi pun, tidak ramai antara kita yang mampu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli model-model MPV besar dan premium seperti Toyota Alphard, Estima atau Nissan Elgrand. Menyedari wujudnya permintaan tersebut, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) memperkenalkan model yang dikenali sebagai Hyundai Starex. Dengan kapasiti 11 tempat duduk, ia menjadi model MPV atau mini van bersaiz penuh paling mamp

YORAM DILAWATI OLEH YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN

salam buat rakan pembaca.. pada hari ini saya berasa amat berterima kasih kepada YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN kerana dengan izinNYA pada hari ini bermulanya detik yang baik untuk Yoram..Yb dengan berbesar hati sudi untuk membantu menyelesaikan perkara-perkara yang perlu.. terima kasih Yb.. Semoga Yb terus dirahmati Allah selamanya. Amin.. Moga Yoram akan cepat sempuh dan adik adik beliau dapat belajar.... famliy yoram yoram ,azman dan YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN

dari KULIM ke Kiulu

Segalanya kerana Donni Oleh SUBASHINI RAJANDRA subashini.rajandra@kosmo.com.my Sekumpulan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kulim, Kedah terus gigih berjuang mengumpul dana sebanyak RM250,000 demi kepentingan ‘anak-anak tersayang’ di Kiulu, Sabah. Begini bermulanya cerita yang ingin disampaikan. Pada 20 Mac 2007, akhbar Daily Express News di Sabah memaparkan sebuah artikel yang cukup menyayat hati. Sesiapa sahaja yang membacanya dapat membayangkan kedaifan hidup sebuah keluarga yang terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk terus bernyawa. Kisah itu menceritakan bagaimana enam orang adik-beradik dan ibu mereka sekadar 'kenyang' dengan menjamah bubur nasi dan sayur kangkung. Menyingkap kisah hidup mendiang Donni John Duin, 11, dia ialah seorang anak yang pendiam dan tidak bermasalah. Penderitaan yang terpaksa dilalui sejak bapanya disumbat masuk ke penjara akibat dadah begitu menyentuh hati. Menurut ibunya, Hina Joloni, 39, setiap kali pulang dari sekola