Friday, November 14, 2008

Keputusan di bawah PPSMI memuaskan

KOTA BHARU 13 Nov. – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di bawah sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini, adalah memuaskan walaupun terdapat penurunan pelajar yang mendapat 5A.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia jelas membuktikan dasar PPSMI yang diperkenalkan sejak enam tahun lalu, tidak menjejaskan prestasi para pelajar.

Menurutnya, biar pun keputusan peperiksaan itu memuaskan tetapi ia tidak bermakna dasar tersebut adalah tepat dan kerajaan tidak melakukan perubahan.

“Keputusan UPSR tahun ini ok, tidak ada yang melonjak

tinggi dan tidak menurun sekali gus. Ini baik selepas enam

tahun sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan, ia tidak menjejaskan kedudukan anak- anak kita.

“Ini tidak bermakna dasar itu tepat dan kita tidak akan buat perubahan (dasar) tetapi sekurang-kurangnya ia menafikan tuduhan liar penuh dengan emosi yang dibuat sebelum ini, dan dasar ini tidak menjejaskan masa depan kita dan ia menunjukkan dasar yang dibuat ini tidak merugikan.

“Susah kita hendak tengok (nilai) PPSMI kali ini kerana kita masih beri ruang kepada mereka jawab dwibahasa tetapi yang membanggakan saya ialah kira-kira 57 peratus pelajar menjawab dalam bahasa Inggeris,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Pintu Gang di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Datuk Amran Mohd. Noor yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) SK Paloh Pintu Gang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan UPSR yang diumumkan hari ini.

Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan menjadikan keputusan peperiksaan tersebut sebagai penanda aras untuk menentukan dasar PPSMI pada masa depan.

“Saya mahu katakan disini apa jua keputusan ia tidak berkaitan kepada UPSR. Kita tetapkan pada tahun ini kerana ia peringkat terakhir selepas enam tahun melalui PPSMI.

“Saya tengok daripada segi peningkatan mereka yang telah pun berjaya mendapat 4A walaupun ada penurunan sikit dalam konteks 5A tetapi saya bangga kerana jumlah mereka yang gagal telah pun menurun,” katanya.

Menurut beliau, keputusan untuk meneruskan dasar PPSMI itu akan dibuat berdasarkan beberapa ciri bagi memastikan masa depan para pelajar tidak terabai.

Katanya, pekara tersebut akan dibincangkan dalam sesi meja bulat yang diadakan buat kali ketujuh berhubung pelaksanaan dasar ini.

“Orang yang memahami isu PPSMI tahu kerajaan tidak akan membuat keputusan berpandukan UPSR saja kerana banyak perkara harus dipertimbangkan seperti kesan kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan dan ibunda, kesan kepada pembelajaran dan pengajaran matematik dan sains.” katanya.

2 comments:

tajudin said...

cikgu, mungkin boleh disiarkan kajian. jangan cerita yang AAAAA kat belah atas. cuba tengok/kaji yang dapat CCCC & DDDD.

azman salleh said...

din/ greng ,, setuju dengan apa hang dok kata.. aku la dok tempuhi budak EEEEE DAN DDDDD.. TAHU APA YANG DIALAMI SEKARANG SEBENAR BENARNYA..