Friday, November 28, 2008

PM umum lagi insentif

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HELMI MOHD. FOAD


TAHNIAH ... Abdullah Ahmad Badawi memberikan tepukan kepada Dr. Ibrahim Abu Shah setelah Universiti Teknologi MARA muncul juara Anugerah Kualiti Perdana Menteri bagi sektor awam di Putrajaya, semalam.– Gambar Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 27 Nov. – Lebih 40,000 kakitangan awam yang sebelum ini mengambil opsyen skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menarik nafas lega apabila mereka kini dibenarkan untuk bertukar kepada skim pencen, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kakitangan awam terbabit diberikan peluang selama sebulan untuk membuat pilihan berhubung skim tersebut iaitu dari 1 Januari hingga 31 Januari 2009.

Berucap menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 di sini hari ini, beliau memberitahu, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam pada mesyuaratnya baru-baru ini.

‘‘Ini tentunya memberikan kebaikan kepada mereka yang terbabit seperti kemudahan perubatan dan memperoleh semua kemudahan yang sama seperti dinikmati oleh para pesara.

‘‘Keduanya, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada ibu bapa anggota perkhidmatan awam bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan dan ia mula berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan,” kata beliau.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md. Yusof.

Pada 1992, melalui Skim Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan yang dilantik selepas 12 April 1992, ditawarkan skim KWSP sebagai alternatif kepada Skim Pencen seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 6A(1) Akta Pencen 1980 dan Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980.

Kakitangan awam yang memilih skim KWSP itu bagaimanapun kehilangan faedah gantian cuti rehat, faedah rawatan kesihatan sebagai pesara dan ganjaran persaraan.

Ekoran itu, ramai kakitangan awam merungut bahawa mereka tidak mendapat maklumat jelas semasa hendak membuat opsyen Skim Pencen atau KWSP disebabkan ketiadaan sesi penerangan oleh JPA.

Abdullah seterusnya berkata, kerajaan juga bersetuju membuat penambahbaikan terhadap skim pegawai siasatan, penolong pegawai siasatan dan pembantu pegawai siasatan bagi memperkasakan kegiatan pencegahan rasuah dan membanteras jenayah.

‘‘Bagi urusan pencegahan rasuah, skim perkhidmatan tersebut bermula dengan kelulusan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, penambahbaikan bagi skim perkhidmatan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan konstabel berkuat kuasa pada 1 Januari 2009,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, memandangkan persamaan fungsi dan tugas antara agensi penguatkuasaan maritim Malaysia, tentera laut dan polis daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, kerajaan bersetuju agar kadar tambahan 20 peratus atas kadar kenaikan gaji diberi kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Abdullah berkata, perkhidmatan awam boleh merasa bangga dengan pencapaian itu kerana kerajaan telah menetapkan sasaran untuk melonjakkan kedudukan Malaysia ke taraf 10 teratas dalam mana-mana kategori penarafan antarabangsa.

Dalam pada itu, Abdullah juga mahu pemilihan pemenang anugerah kualiti sektor awam dibuat berasaskan kriteria keunggulan yang mantap serta tahap penilaian yang tinggi agar kewibawaan pemenang terbukti serta tidak dipertikaian mana-mana pihak.

No comments: