Skip to main content

Berhemah guna bahan bakar

Oleh AMREE AHMAD
amree.ahamad@kosmo.com.my

Ramai pemandu terpedaya kononnya ada petua tertentu mengisi minyak di stesen pam tanpa menyedari banyak kaedah pemanduan boleh menjimatkan bahan bakar kenderaan.

CARA pemanduan seseorang merupakan faktor penting yang menentukan minyak habis cepat atau lambat.

JIKA anda pernah berkunjung ke Singapura, mungkin bukan sesuatu yang luar biasa untuk anda melihat cara pemandu kereta di republik itu meletakkan kenderaan. Kereta di sana diundur belakang sama ada dalam format petak menegak atau melintang di bahu jalan.

Malah amat jarang untuk kita melihat pemandu di pulau itu memasukkan kereta terus ke petak seperti kelaziman di Malaysia. Hakikatnya, gaya pemanduan yang meletakkan kenderaan sedemikian antara beberapa teknik penjimatan minyak.

Harga bahan bakar di negara kota itu yang secara relatif antara yang tertinggi di dunia barangkali menjadikan pemandu Singapura lebih inovatif berjimat. Setiap liter minyak yang digunakan amat bernilai walaupun sekadar cara meletak kereta.

Di Malaysia lain pula ceritanya. Sikap rakyat negara ini yang 'manja' kerana mewah dengan harga murah bahan petroleum menjadikan kita dalam zon selesa. Maka kenaikan harga minyak meskipun cuma satu sen mencetuskan panik yang luar biasa.

Pendedahan akhbar Kosmo! baru-baru ini disusuli respons dan tinjauan berhubung kononnya kaedah pengisian minyak secara perlahan mampu memberi lebih minyak telah menimbulkan persoalan. Rupa-rupanya rakyat kita mudah benar terpedaya.

Penulis mengimbau satu persidangan antarabangsa mengenai petroleum yang diadakan di George Town, Pulau Pinang tidak lama dulu.

Memandangkan semua peserta yang datang dari seluruh dunia terlibat secara langsung dengan industri petroleum, banyak fakta menarik yang penulis kongsikan dalam persidangan itu. Salah seorang ialah petua yang diberikan oleh profesor Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, isu rizab minyak global yang kian kering menjadikan pemain industri itu beralih kepada bahan bakar alternatif. Namun buat sementara waktu, pengguna harus dididik cara yang betul berjimat minyak.

"Masalahnya di Malaysia, majoriti pemandu berfikir seolah-olah stok minyak negara ini tidak habis walhal selepas minyak ditemui di Miri akhir abad ke-19, kita cuma tinggal baki hingga tahun 2020 sebelum rizab petroleum itu pupus," jelasnya.

TEKNIK meletak kenderaan secara mengundur lebih menjimatkan.

Justeru, beliau meminta pihak media aktif mendidik rakyat supaya lebih berhemah dalam penggunaan minyak untuk kenderaan. Ini termasuklah cara meletak kereta yang pasti ramai bertanya rasional mengundur berbanding maju ke depan.

Jawapannya mudah. Semasa masuk mengundur, kuantiti minyak yang dibakar adalah kecil dan apabila hendak keluar dari petak, kadar digunakan juga masih sedikit. Ini berbeza jika pemandu itu mengundur semasa membawa kereta keluar.

"Banyak minyak terpaksa dibakar ketika enjin dihidupkan dan ketika mengundur untuk keluar dari petak. Walhal pemandu boleh berjimat minyak jika meluncur ke hadapan dan memandu keluar terus dari petak," terang beliau.

Malangnya, teknik itu tidak pula digemari. Pernah, Majlis Perbandaran Pulau Pinang melaksanakan format mengundur untuk meletakkan kereta di sepanjang Persiaran Gurney. Kaedah itu dibantah banyak pihak dan akhirnya dimansuhkan.

Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam isu lalu lintas ketika itu, Datuk Dr. Teng Hock Nan dikritik teruk. Pemandu lebih suka sistem trafik lama tanpa menyedari bukan sedikit minyak dibazirkan untuk meletak kereta mereka.

Berbalik kepada pendedahan Kosmo! dua minggu lalu kononnya mengisi petrol dengan aliran yang perlahan membolehkan pengguna dapat lebih minyak, ramai tentu terkejut jika diberitahu bahawa membuka tingkap semasa memandu laju sebenarnya turut mengeringkan tangki minyak.

Aldia Lai dari Persatuan Jurutera Petroleum Antarabangsa (SPEI) yang ditemui penulis pada persidangan sama memberitahu, arus udara kuat dari luar kenderaan menyebabkan kelajuan kereta menjadi perlahan apabila dipandu laju.

"Ini bermakna pemandu perlu lebih menekan pedal minyak untuk memastikan kereta dipandu laju. Walhal sekiranya tingkap ditutup, kereta boleh dipandu pada had laju selesa dan kadar pembakaran minyak adalah relatif berbaloi," tegasnya.

Masalahnya, ujar beliau, agak tipikal untuk kita melihat tingkap kereta dibuka luas di lebuh raya dengan alasan mahu menikmati angin segar. Ini kerana ramai mungkin dipengaruhi mitos kononnya memasang pendingin udara boleh menghabiskan minyak kereta mereka.

Tanggapan kurang tepat itu turut menyaksikan ramai pemandu di Malaysia gemar menghidupkan enjin ketika menunggu seseorang dalam tempoh lama. Mereka tidak sedar tindakan itu mengakibatkan banyak minyak dibakar secara sia-sia.

"Mungkin mereka menyangka jika mematikan enjin dan kemudian menghidupkan semula dalam jangka waktu sekejap, ia memerlukan jumlah minyak yang besar. Sedangkan kajian saintifik membuktikan perkara sebaliknya," kata beliau.

Barangkali pemandu Malaysia wajar belajar banyak tip pemanduan yang menjimatkan penggunaan minyak berbanding terpengaruh dengan petua tertentu kononnya cara pengisian di stesen minyak membolehkan mereka mendapat lebih minyak.

Seperti yang ditegaskan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti, kadar amaun minyak di mana-mana stesen adalah sama tidak kira diisi dengan laju atau perlahan, pada waktu malam atau siang.

Sebaliknya, cara pemanduan menjadi faktor utama menentukan kuantiti bahan bakar dalam tangki minyak kenderaan itu cepat atau lambat habis. Pengguna perlu bijak dan mungkin tiba masanya kita kembali kepada gaya pemanduan berhemah.

Comments

Popular posts from this blog

Hyundai starex

PEMOTORAN Kebebasan ruang kargo Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my Juga dikenali sebagai model H1 dan H200, kenderaan dengan kapasiti 11 orang tempat duduk ini sesuai untuk pelbagai aktiviti. SEJAK konsep kenderaan untuk pengangkutan penumpang atau barangan iaitu van beralih kepada MPV (kenderaan pelbagai guna), kita seakan-akan sudah lupa dengan kelebihan sebuah van. MPV mampu menyediakan tahap ergonomik dan pemanduan lebih selesa seakan-akan sebuah sedan. Namun ia masih belum berupaya menyediakan ruang yang luas untuk mengisi ramai penumpang. Lagi pun, tidak ramai antara kita yang mampu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli model-model MPV besar dan premium seperti Toyota Alphard, Estima atau Nissan Elgrand. Menyedari wujudnya permintaan tersebut, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) memperkenalkan model yang dikenali sebagai Hyundai Starex. Dengan kapasiti 11 tempat duduk, ia menjadi model MPV atau mini van bersaiz penuh paling mamp...

YORAM DILAWATI OLEH YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN

salam buat rakan pembaca.. pada hari ini saya berasa amat berterima kasih kepada YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN kerana dengan izinNYA pada hari ini bermulanya detik yang baik untuk Yoram..Yb dengan berbesar hati sudi untuk membantu menyelesaikan perkara-perkara yang perlu.. terima kasih Yb.. Semoga Yb terus dirahmati Allah selamanya. Amin.. Moga Yoram akan cepat sempuh dan adik adik beliau dapat belajar.... famliy yoram yoram ,azman dan YB. DR. ABANG HJ. ABDUL RAUF B. ABANG HJ. ZEN

Laila Taib meninggal- Al Fatihah

Oleh FAUZI JAAFAR dan SOPIE SAMAILE utusansarawak@utusan.com.my KENDERAAN yang membawa Muhyiddin Yassin keluar dari kediaman Ketua Menteri Sarawak selepas menziarahi jenazah Allahyarham Laila Taib di Kuching, Sarawak, semalam. KUCHING 29 April - Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada pukul 3.40 petang ini di kediaman mereka di Demak Jaya di sini akibat kanser. Laila, 68, meninggalkan suami dan empat anak termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman serta 15 cucu. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani dalam kenyataannya memberitahu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya pada pukul 11.30 pagi esok. Beliau berkata, orang ramai yang ingin menziarahi jenazah Allahyarham boleh berbuat demikian sebelum pukul 11 pagi. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dalam lawatan rasmi dua hari ke si...