Skip to main content

'Buah tangan' Pak Lah legakan rakyat Sarawak

Oleh Misiah Taib

Tambahan RM1b bangunkan infrastruktur luar bandar

SEPERTI juga lawatannya ke Sabah sebelum ini, kunjungan sehari suntuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sarawak kelmarin, membawa bersamanya 'buah tangan' yang menggembirakan penduduk di Bumi Kenyalang, apatah lagi dalam keadaan kenaikan harga minyak sekarang.

Berikut adalah antaranya:

# Peruntukan RM1 bilion untuk projek infrastruktur asas diuruskan JPM;

# Kad 'fleet' kepada penduduk luar bandar di Sarawak untuk membeli minyak diesel pada kadar harga subsidi;

# Kerajaan Pusat menanggung kos sewa helikopter RM15,000 sebulan untuk setiap Ahli Parlimen melawat kawasan terpencil;

# Geran pemadanan RM1 untuk setiap RM1 peruntukan bagi projek kecil luar bandar bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sarawak. Maknanya, peruntukan itu menjadikan jumlahnya RM500,000, daripada peruntukan asal RM250,000;

# Peruntukan tambahan RM1 juta untuk Ahli Parlimen seperti diumumkan sebelum ini;

# Membawa masuk ramai lagi anak Sarawak ke dalam perkhidmatan persekutuan;

# Sebagai langkah segera, JPA akan melaksanakan skim tukar lantik, iaitu melantik pegawai perkhidmatan negeri ke perkhidmatan awam Persekutuan pada peringkat pertengahan dan tertinggi;

# Kerajaan akan mengenal pasti anak Sarawak yang ada dalam RM3.9 bilion untuk sediakan bekalan air dan elektrik 24 jam di sekolah luar bandar Sarawak.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang jelas kelihatan sihat, biarpun khabar angin tersebar beberapa hari sebelum lawatan Pak Lah mendakwa beliau sedang sakit tenat, cukup gembira dengan 'buah tangan' Pak Lah dalam lawatannya kali ini.

"Saya berpuas hati dan cukup gembira dengan peruntukan tambahan RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak. Ia perkhabaran baik untuk rakyat Sarawak. Kita akan memanfaatkan peruntukan tambahan ini untuk melaksanakan projek infrastruktur, terutama bekalan air, elektrik dan jalan raya di kawasan luar bandar," katanya.

Bagi Adun Dalat, Datin Fatimah Abdullah, peruntukan tambahan itu pastinya melegakan rakyat Sarawak yang dilihat agak tertekan selepas kenaikan harga minyak.

"Ini adalah sesuatu yang diharapkan bukan saja kami, malah juga seluruh rakyat yang masih cuba menyesuaikan hidup dengan keadaan ekonomi semasa," katanya.

Lawatan Pak Lah kelmarin bermula dengan acara dialog tertutup pada jam 9 pagi di Hotel Hilton, Kuching selepas beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Taib seawal jam 8 pagi.

Biarpun kehadirannya cuma kira-kira 14 jam di Bumi Kenyalang dengan jadual acara rasminya kira-kira lapan jam, namun kunjungan Pak Lah ke Sarawak, amat bermakna dengan membawa perkhabaran cukup menggembirakan rakyat Sarawak.

Paling lega, pastinya penduduk luar bandar di Sarawak, yang menerima kesan paling teruk berikutan kenaikan harga bahan api serta makanan, kerana rata-rata mereka bergantung kepada penggunaan minyak diesel untuk menjana kuasa generator bagi bekalan elektrik di rumah panjang dan untuk bot laju yang menjadi pengangkutan harian.

Pak Lah bersetuju memberikan kad 'fleet' kepada penduduk luar bandar di Sarawak untuk membeli minyak diesel pada kadar harga subsidi, supaya tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga diesel RM1 seliter, seperti diumumkan baru-baru ini.

Menariknya mengenai jalinan hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak ialah pemimpin dari Bumi Kenyalang tidak perlu bersuara lantang, mengasak tekanan dan desakan, termasuk menerusi media untuk membela nasib rakyatnya, kerana Perdana Menteri sendiri sentiasa akur serta prihatin keperluan penduduk di negeri terbesar di Malaysia itu.

Suasana tenang, tanpa lontaran nada meninggi suara, jauh sekali wujud unsur tekanan atau desakan ketika berlangsung dialog tertutup di Hotel Hilton itu, pagi kelmarin, cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Selain memberi penerangan mengenai isu semasa, kenaikan harga minyak dan barang, serta langkah diambil kerajaan ke arah mengurangkan kesannya, Pak Lah membuka ruang kepada setiap pemimpin BN, termasuk Ahli Parlimen dan Adun untuk menceritakan permasalahan rakyat di kawasan mereka.

Sikap responsif Pak Lah cukup melegakan pemimpin BN yang hadir. Selain peruntukan tambahan RM1 juta untuk Ahli Parlimen seperti diumumkan sebelum ini, Pak Lah mengumumkan kesanggupan Kerajaan Persekutuan menanggung kos sewa helikopter RM15,000 sebulan untuk setiap Ahli Parlimen di Sarawak melawat kawasan terpencil dan geran pemadanan RM1 untuk setiap RM1 peruntukan bagi projek kecil luar bandar setiap Adun di Sarawak.

Ini bermakna setiap Adun mendapat peruntukan RM250,000 untuk projek kecil luar bandar mendapat tambahan RM250,000 lagi daripada Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM500,000. Pengumuman ini cukup melegakan 30 Ahli Parlimen dan 62 Adun BN di Sarawak.

Selari dengan tekad kerajaan kepemimpinan Pak Lah yang mahu meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak memandangkan topografi serta keluasan kawasan, beberapa pengumuman lain dibuat bagi meringankan beban rakyat khususnya di luar bandar.

Ketika mengakui ada beberapa projek kurang penting mungkin terpaksa ditangguhkan dulu kesan kenaikan bahan api, Pak Lah memberi jaminan projek yang membawa manfaat kepada rakyat khususnya untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan tetap diteruskan.

Selain pemberian kad 'fleet' secara terus kepada kepada penduduk luar bandar dan peruntukan untuk Ahli Parlimen serta Adun, Pak Lah turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk pelaksanaan projek infrastruktur khususnya di luar bandar di Sarawak, yang akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri.

Janji Pak Lah kepada rakyat Sarawak ialah kerajaannya akan terus bertekad untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus menjelang 2010. Justeru, 'Focus Group' kemiskinan sudah ditubuhkan bagi merangka 'Poverty Mapping' dan menyelaras pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.

'Focus Group' ini memberi penekanan kepada usaha pembasmian kemiskinan di Sabah dan Sarawak. Bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak sudah siap 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir Jun ini.

"Sebanyak 42,654 keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan di Sarawak sudah dibanci untuk menjadi input kepada Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih). Sebaik bancian selesai, kerajaan akan dapat melaksanakan perancangan ini secara lebih tepat dan berkesan untuk Sarawak," katanya.

Sebagai langkah awal, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penyediaan bantuan rumah untuk golongan miskin di bandar dan luar bandar di Sarawak.

Satu lagi perkhabaran gembira buat anak Sarawak ialah Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan penyertaan mereka dalam Perkhidmatan Persekutuan di Sarawak.

Pak Lah berkata, kerajaan sudah menimbangkan pelbagai langkah untuk menambah penyertaan anak Sarawak dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pengisian jawatan Ketua Jabatan memandangkan pada masa lalu tidak ramai anak Sarawak memilih menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga sudah diarahkan supaya memberi perhatian khusus kepada Sabah dan Sarawak memandangkan topografi dan kawasannya agak luas.

Selain berdialog dengan pemimpin BN Sarawak, Pak Lah turut merasmikan Jambatan Sungai Sebuyau berharga RM6.8 juta dalam lawatan seharinya itu, selain meninjau pembangunan projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu bernilai RM60 juta, mendengar taklimat di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu dan menghadiri majlis bersama rakyat di Tebedu.

Comments

Popular posts from this blog

Hyundai starex

PEMOTORAN Kebebasan ruang kargo Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my Juga dikenali sebagai model H1 dan H200, kenderaan dengan kapasiti 11 orang tempat duduk ini sesuai untuk pelbagai aktiviti. SEJAK konsep kenderaan untuk pengangkutan penumpang atau barangan iaitu van beralih kepada MPV (kenderaan pelbagai guna), kita seakan-akan sudah lupa dengan kelebihan sebuah van. MPV mampu menyediakan tahap ergonomik dan pemanduan lebih selesa seakan-akan sebuah sedan. Namun ia masih belum berupaya menyediakan ruang yang luas untuk mengisi ramai penumpang. Lagi pun, tidak ramai antara kita yang mampu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli model-model MPV besar dan premium seperti Toyota Alphard, Estima atau Nissan Elgrand. Menyedari wujudnya permintaan tersebut, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) memperkenalkan model yang dikenali sebagai Hyundai Starex. Dengan kapasiti 11 tempat duduk, ia menjadi model MPV atau mini van bersaiz penuh paling mamp

SPM 2011: 1,609 pelajar dapat 9 A+ hingga 12 A+ ditawar bursary

Azman Salleh SPM 2011: 1,609 pelajar dapat 9 A+ hingga 12 A+ ditawar bursary 10 April 2012 KUALA LUMPUR - Semua 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau prauniversiti dalam negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan. "K

Inti pati pengumuman Perdana Menteri untuk penjawat awam

PUTRJAYA 8 Mac – Berikut inti pati pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. * Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengekalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik. * Penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan bagi penjawat awam pada masa depan. * Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54 iaitu bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus). * Jadual gaji matriks diubah suai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM. * Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) dinaikkan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B m